United laung amaran

GOL penyamaan Javier Hernandez
(kiri) ini benar-benar mengecewakan Chelsea selepas selesa mendahului
3-0. Kebangkitan United pada perlawanan ini membuktikan belang sebenar
mereka.
LONDON - Penyerang Manchester United, Wayne Rooney percaya semangat
juang tinggi yang dipamerkan barisan pemain skuad The Reds Devils ketika
mengikat keputusan seri 3-3 dengan Chelsea dalam saingan Liga Perdana
England awal pagi semalam bakal menjadi nadi utama untuk bergelar juara
musim ini.
Kenyataan Rooney itu sekaligus melaungkan amaran buat pendahulu liga,
Manchester City bahawa mereka tidak boleh merangkul kejuaraan liga
lebih awal sebaliknya bakal ditentukan sehingga saingan musim ini tamat.
Terdahulu, United yang di bawah kendalian Alex Ferguson kembali
bangkit selepas ketinggalan 0-3 untuk mencatatkan keputusan seri di
Stamford Bridge.
Pada awalnya, Chelsea dilihat berpeluang cerah mengutip tiga mata
penuh apabila mendahului perlawanan hasil jaringan sendiri tonggak
pertahanan United, Jonny Evans pada minit ke-36, Juan Mata (46), David
Luiz (50).
Bagaimanapun, anak-anak buah Ferguson tidak mudah menyerah kalah
apabila berjaya menyamakan kedudukan hasil dua sepakan penalti yang
disempurnakan Rooney pada minit ke-58 dan 69.
Bintang muda Mexico, Javier Hernandez muncul penyelamat apabila
meledak gol ketiga Red Devils pada minit ke-84 sekaligus memberikan satu
mata berharga.
Berdasarkan aksi yang dipamerkan rakan-rakan sepasukan, Rooney percaya City pasti tidak senang duduk melihat situasi tersebut.
"Memang kami (United) terlepas dua mata tetapi selepas ketinggalan
3-0, kesemua barisan pemain City yang menonton perlawanan itu pasti
tidak menyukainya apabila kami tampil dengan semangat juang tinggi untuk
menyamakan kedudukan.
"City tahu, ia akan menjadi satu persaingan yang panjang iaitu sehingga tamat saingan musim ini," kata Rooney.
Sementara itu, pengurus Chelsea, Andre Villas-Boas mempertikaikan
keputusan pengadil, Howard Webb yang menghadiahkan sepakan penalti
pertama kepada United.
"Sepakan penalti yang pertama memang wajar diberikan kepada United. Namun, sepakan kedua meragukan.
"Saya tidak pasti sama ada Webb berada pada kedudukan yang tepat
untuk membuat keputusan tetapi memang suatu yang malang apabila dia
memberikan sepakan penalti kepada United," jelas Villas-Boas. - AFP