

MANCHESTER - Rio Ferdinand percaya Manchester United mampu untuk mengatasi Liverpool dalam perebutan gelaran Liga Perdana England musim ini selepas skuad Red Devils itu merampas kembali kedudukan takhta liga. United mampu menjarakkan lima mata daripada pesaing terdekat mereka, Chelsea dan Liverpool sekiranya berjaya menewaskan Everton di Old Trafford malam ini.
Liverpool yang sekadar mencatat keputusan seri dalam tujuh daripada 10 perlawanan akan menanti kunjungan Chelsea esok.
Justeru, Ferdinand berharap United yang kini mendahului carta liga dengan dua mata dan berkelebihan satu perlawanan akan menjarakkan kedudukan mata bagi merealisasikan impian mencatat kejuaraan kali ketiga berturut-turut.
"Ia akan menjadi mudah apabila kamu memiliki pemain berpengalaman seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes, pemain yang pernah menjuarai liga sebelum ini," kata pertahanan England itu.
Namun, Ferdinand menegaskan, apa yang lebih penting untuk ke arah itu ialah mereka perlu mendapat rentak dan cuba untuk mengekalkannya.
"Jika kamu mendapat momentum dalam beberapa perlawanan terakhir, kamu akan berada dalam kedudukan terbaik untuk terus menyerlah.
"Kami sukakan tekanan beraksi dalam perlawanan besar tetapi ada yang berkata lebih baik jika muncul juara dengan kelebihan 10 atau 20 mata. Ia sukar untuk dilakukan.
"Kamu tidak akan mendapat sesuatu yang mudah dalam hidup tetapi kamu perlu bekerja keras untuk mendapatkannya. Kami tahu tentang itu," jelas Ferdinand. - AFP

![]() |
| BINTANG baru Manchester United, Zoran Tosic (tengah) diasak pemain West Bromwich Albion', Carl Hoefkens (kanan) dan James Morrison pada pertembungan Liga Perdana England di Stadium Hawthorns stadium, West Bromwich, England, kelmarin. United benam West Bromwich. 5-0 - AP |
Ia merupakan rekod baru dalam Liga Perdana England malah penjaga gol United, Edwin van der Sar turut mencipta rekod tidak melepaskan bola selama 1,032 minit mengatasi rekod lama 1,026 minit yang dipegang Petr Cech di Chelsea pada musim 2004-05.
"Saya hanya perlu memastikan tumpuan saya sentiasa tinggi di samping bekerjasama rapat dengan pemain pertahanan dan tengah.
"Kami memang gembira dengan rekod itu apatah lagi dalam keadaan pertahanan yang masih belum sempurna dan berdepan pemain yang masih cedera," kata Van der Sar.
Pemain veteran United, Ryan Giggs, 35, menjadi nadi penggerak kepada empat daripada lima gol pasukan itu apabila mengumpan bola untuk gol pertama Ronaldo di samping terbabit menjelma jaringan yang dihasilkan Dimitar Berbatov, Carlos Tevez dan Nemanja Vidic.
"Kami membuktikan keupayaan sebenar kami buat kali pertama musim ini dengan rekod baru itu. Ia memang kami jangkakan hasil mutu barisan penyerang yang tinggi," kata pengurus United, Sir Alex Ferguson.
United memerlukan 22 minit selepas permainan bermula untuk membuka jaringan menerusi Berbatov - gol kelimanya daripada tujuh perlawanan terbaru.
Giggs mengumpan bola kepada Berbatov yang kemudiannya melakukan gerakan satu dua dengan Michael Carrick sebelum menolak bola dicelah kaki penjaga gol lawan, Scott Carson.
West Brom terpaksa bermain 10 orang pada minit ke-40 apabila Paul Robinson dibuang padang ekoran mengasari Park Ji-Sung.
Ini membolehkan United menambah jaringan apabila sepakan percuma Giggs yang gagal ditangkap kemas oleh Carson untuk membolehkan Tevez menyambut bola terlepas itu dan menolaknya ke dalam gawang.
Giggs sekali lagi tampil melakukan sepakan sudut yang tepat ke kepala Vidic yang menanduk masuk untuk gol kelimanya musim ini.
Seminit selepas itu, Giggs sekali lagi terbabit merencanakan hantaran silang yang tepat ke arah Ronaldo untuk gol keempat United.
Ronaldo menutup pesta gol United dengan gol kelima pada minit ke-73 selepas mendapat umpanan daripada Berbatov.
Juara bertahan Liga Perdana England itu kini tiga mata di depan Liverpool di tangga kedua dengan 50 mata.
Liverpool yang beraksi lewat sehari menentang Wigan boleh menyamai kedudukan mata itu jika menang. Tetapi jika kalah, Aston Villa yang menewaskan Portsmouth 1-0 hasil jaringan Emile Heskey kelmarin boleh mengancam kerana turut mengumpul 47 mata ketika ini.
Tottenham pula menewaskan Stoke 3-1 dalam usaha mereka untuk keluar daripada zon penyingkiran ke liga bawahan.
Kenwyne Jones pula membantu Sunderland menang 1-0 mengatasi Fulham. - AP

MANCHESTER, England - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memberi jaminan untuk menyambung kontrak pemain tengahnya berusia 35 tahun, Ryan Giggs - pemain paling bersinar di kelab itu.
Kontrak bekas pemain antarabangsa Wales itu akan berakhir Jun ini dan dia masih lagi menjadi pemain utama United dalam persaingan untuk Liga Perdana England, Liga Juara-Juara dan dua piala domestik.
"Pastinya Ryan (Giggs) akan ditawarkan kontrak baru. Dia telah mempamerkan aksi yang menakjubkan untuk kami sepanjang musim ini.
"Dia seolah-olah memperoleh pencapaian lebih baik dengan usianya dan mungkin boleh memenangi Anugerah Pemain Bola Sepak Terbaik.
"Ia mungkin akan bersesuaian jika dia melakukannya (bersara) selepas berjaya mencapai kerjaya yang dimilikinya. Dia seolah-olah menjadi salah seorang yang sukar dijumpai kerana mempunyai umur serta kecederaan yang tidak mengganggu kerjaya mereka," kata Ferguson.
Biarpun sudah kehilangan keupayaan untuk melancarkan serangan merbahaya di bahagian sayap kiri pasukan seperti mana yang dilakukannya sebelum ini tetapi Giggs telah menghasilkan peranan baru untuk dirinya di tengah-tengah padang bersama pemain tengah lain.
Kejayaan Giggs memainkan peranan barunya itu telah memanjangkan lagi kerjayanya bersama pendahulu Liga Perdana England sehingga ini.
"Saya gembira untuk melaksanakan peranan tersebut. Saya sudah tidak berupaya membuat larian naik turun seperti yang dilakukan sebelum ini sebagai pemain sayap.
"Oleh demikian, saya hanya menggunakan pengalaman yang dimiliki untuk bermain di hadapan atau di bahagian tengah padang.
"Saya mempunyai dua kaki dan ramai pemain muda di sekeliling yang bergantung kepadanya. Saya berasa gembira untuk berada di posisi tersebut," kata Giggs. - AP
WEST BROMWICH, England - Alex Ferguson meramalkan Manchester United mungkin akan keciciran mata antara sekarang dan akhir musim sekali gus membuka kejuaraan Liga Perdana England kepada pesaingnya.
Pun begitu, juara bertahan itu akan beraksi di tempat lawan menentang pasukan tercorot liga, West Bromwich Albion hari ini dan kemenangan akan memberi lebih tekanan kepada pencabar terdekatnya Liverpool.
United yang menerajui liga menerusi perbezaan jaringan dan kurang satu perlawanan, berpeluang mendahului lebih selesa apabila Liverpool tidak beraksi sehingga 24 jam kemudian menentang lawan sukar di Wigan.
Ferguson sememangnya tidak menjangkakan memperoleh kurang tiga mata dalam perlawanan di Hawthorns apabila menentang pasukan bimbingan Tony Mowbray.
Namun, Ferguson mengakui pasukan paling berpengalaman pun akan menjadi lemah sejurus musim liga memasuki tahap paling kritikal.
Pengurus dari Scotland itu bimbang dengan peningkatan krisis kecederaan pemain di Old Trafford yang menyaksikan Fabio sakit pangkal paha dan Danny Welbeck (pergelangan kaki) menjadi pemain terbaru yang menambahkan lagi senarai pemain yang cedera.
Ferguson telah kehilangan Anderson, Nani, Wayne Rooney, Wes Brown dan Jonny Evans, walaupun Cristiano Ronaldo dijangka pulih daripada jangkitan virus untuk perlawanan menentang West Brom hari ini.
"Saya tidak ada masalah untuk bahagian tengah dan depan cuma posisi pertahanan yang menimbulkan sedikit kebimbangan.
"Saya tidak bimbang kesan perlawanan esok sebelum kami menentang Liverpool.
''Beberapa tahun lalu ia (kesan perlawanan) mungkin saya fikirkan tetapi sekarang saya tidak memikirkan di mana kami akan beraksi.
"Perkara paling penting ialah adakah anda mengawal tekanan? Kami mempunyai paling banyak pengalaman mengawal tekanan tetapi itu tidak bermakna kami mampu mengawalnya sepanjang masa.
"Kami akan keciciran mata dalam laluan ke akhir musim, ia tidak harus dipersoalkan lagi.
''Kami cuma berharap tidak kehilangan terlalu banyak mata,'' kata Ferguson.
Sementara itu, Mowbray juga mempunyai masalah kecederaan pemain ketika mahu memberi cabaran kepada United.
Bekas pemain tengah United, Jonathan Greening dan Ryan Donk menambahkan lagi senarai kecederaan pemain Mowbray kini tanpa 11 pemain dan bahagian pertahanan merupakan posisi paling membimbangkan.
Walaupun Gianni Zuiverloon kembali beraksi, Jonas Olsson, Abdoulaye Meite, Leon Barnett, Shelton Martis dan Donk kesemuanya tidak dapat diturunkan.
Ini bermakna Zuiverloon mungkin terpaksa berganding dengan Pedro Pele di pertahanan tengah.
"Masalah kecederaan kami bertambah buruk. Jonathan Greening mengalami kecederaan ligamen dan sebelum imbasan dijalankan, sukar untuk kami mengetahui selama mana dia perlu berehat.
"Keadaan kami jauh dari sebuah pasukan yang ideal apabila kami menerima kedatangan United kerana sepatutnya kami menurunkan pemain utama untuk mencatat keputusan yang baik,
''Namun kami akan terus beraksi dengan pemain yang ada dan lihat apa akan berlaku,'' kata Mowbray. - AFP

![]() |
| DEFOE kempunan untuk beraksi menentang United pada saingan Piala FA hari ini. |
Skuad bimbingan Redknapp itu terpaksa melalui pertembungan getir separuh akhir Piala Liga menentang Burney Rabu lalu dan kini sukar menurunkan barisan terkuat bertemu United.
Menurut Redknapp, pertahanan Jonathan Woodgate dan Michael Dawson terpaksa direhatkan bersama Jermain Defoe dan dia terpaksa menyediakan pasukan yang disifatkannya lebih lemah berbanding ketika mereka bertemu Burnley.
"Dengan rasa hormat kepada United, saya tak tahu apa lagi yang saya boleh buat. Sudah pasti pasukan berbeza yang akan saya bawa ke Old Trafford.
"Ya, kami telah layak ke final (Piala Liga) di Wembley dan ia sungguh menakjubkan. Tapi objektif utama kami adalah untuk kekal dalam Liga Perdana," katanya.
Berita kepincangan barisan Tottenham itu pasti menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan pengurus United, Alex Ferguson yang akan turun tanpa tiga tonggak pertahanannya berserta Anderson dan Wayne Rooney.
Kekurangan pilihan itu bagaimanapun memberi peluang kepada pemain Portugal, Nani untuk memainkan peranan lebih penting, sesuatu yang jarang dilakukannya musim ini.
"Musim lalu juga bagus dan saya puas hati dengan permainan dan sumbangan saya kepada pasukan. Tapi musim ini saya berharap dapat lakukan lebih lagi.
"Apabila saya mendapat peluang, sasaran saya adalah untuk melakukan yang lebih terbaik daripada apa saya lakukan pada awal musim," kata Nani. - AFP
BERBATOV meraikan jaringannya yang berjaya melonjak United ke tangga teratas EPL buat pertama kali musim ini selepas membenam Bolton 1-0 di Stadium Reebok, kelmarin. |
![]() |
| |
Gol kesembilan Rooney untuk musim ini itu diperoleh selepas 56 saat permainan dimulakan bagi memberikan kemenangan 1-0 mengatasi Wigan namun lima minit selepas itu dia terincut-incut keluar dari padang.
"Kecederaan tendon itu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu untuk pulih. Kami harap ia tidak lebih dari itu," ujar pengurus United, Sir Alex Ferguson.
Rooney bakal terlepas aksi separuh akhir kedua Piala Liga menentang Derby minggu depan dan perlawanan Piala FA menentang Tottenham selain empat perlawanan liga.
Satu kemenangan bagi salah satu liga Sabtu ini di Bolton akan membolehkan United mengambil alih kedudukan teratas dari Liverpool yang mendahului takhta dengan hanya kelebihan dua mata.
Kecederaan Rooney boleh memberi peluang kepada Carlos Tevez untuk memujuk Ferguson meneruskan rundingan mengenai kontrak baru walaupun penyerang Argentina itu cedera pada separuh masa pertama kelmarin, tetapi berjaya meneruskan perlawanan.
Jonny Evans yang menggantikan Rio Ferdinand kerana kecederaan belakang juga berjaya menyudahkan perlawanan walaupun cedera serius pada masa pertama perlawanan.
Pemain pertahanan, Patrice Evra juga terpaksa berehat selama tiga minggu kerana kecederaan kaki.
"Carlos pincang pada separuh masa kedua dan Jonny melaluinya untuk keseluruhan perlawanan.
"Kami akan menilai dan melihat perkembangan mereka. United memerlukan pemainnya terbaiknya Sabtu ini kerana Bolton adalah pasukan yang besar," ujar Ferguson.
Dengan baki satu permainan dalam tangan, United kurang dua mata di belakang Liverpool dengan 46 mata dan juara bertahan itu boleh ke tangga teratas jika mengalahkan Bolton esok.
"Saya tidak kisah apabila United berada di tangga teratas kerana saya selalu merasakan ia adalah kedudukan terbaik yang perlu diduduki.
"Saya harap United akan berada di kedudukan tersebut Sabtu ini, jadi kami perlu mencuba dan memulihkan pemain yang cedera," ujar Ferguson lagi.

LONDON - Manchester United meneruskan usaha mereka untuk memantapkan pasukan apabila membuat tawaran 14 juta pound (RM74 juta) ke atas bintang Wigan, Wilson Palacios. Wigan sebelum ini menolak tawaran 10 juta pound (RM53 juta) daripada Tottenham ke atas perancang Honduras itu.
Difahamkan, Wigan menolak tawaran Spurs itu selepas mereka enggan membuka pintu perbincangan dengan harga di bawah 14 juta pound (RM74 juta).
"Tawarannya tidak cukup. Mereka boleh kembali semula dengan tawaran baru," jelas pengerusi Wigan, Dave Whelan.
Bagi pengurus United, Alex Ferguson, dia amat berminat ke atas Palacios dan merancang untuk membelinya musim depan.
"United terpaksa menghalang Whelan daripada menjual pemain itu ke Spurs," kata jurucakap kelab itu kelmarin.
Palcios mula menjadi perhatian sejak dia menyertai Wigan dengan harga 1 juta pound (RM5.3 juta) dari Deportivo, Januari lepas.
Dia juga berjaya menarik minat kelab Sepanyol, Real Madrid dan kelab Jerman, Bayern Munich. - Agensi


LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson terus melancarkan perang psikologi ke atas seteru utamanya dari Liverpool, Rafael Benitez. Terbaru, Ferguson memberi amaran kepada Benitez bahawa skuad kendaliannya akan merampas takhta pendahulu Liga Perdana England Sabtu ini biarpun tanpa kehadiran Wayne Rooney.
Juara bertahan itu mengekori rapat dua mata di belakang Liverpool selepas menang 1-0 ke atas Wigan hasil jaringan Rooney pada awal permainan di Old Trafford kelmarin.
Penyerang England itu bagaimana dikeluarkan beberapa minit kemudian selepas mengalami hamstring, sekali gus menyaksikan dia bakal berehat sekurang-kurangnya tiga minggu.
"Berada di tangga teratas adalah matlamat kami dan kini kami boleh melakukannya Sabtu ini (esok)," kata Fergie.
Pengurus Red Devils itu telah pun kehilangan Rio Ferdinand dan Patrice Evra dan kini berasa bimbang akan kehilangan beberapa lagi pemain pada kunjungan ke Bolton esok.

"Dari pengalaman saya, kamu tidak akan kisah apabila dalam prestasi terbaik. Namun Wayne mengalami hamstring.
Namun saya lebih bimbangkan tugas kami dalam tiga minggu ini.
"Carlos Tevez cedera pada babak kedua, begitu juga dengan Jonny Evans, Paul Scholes dan Cristiano Ronaldo.
"Semua pemain malam ini (kelmarin) ada mengalami kecederaan, tapi ia satu keputusan penting bagi kami. Ini sudah cukup membuktikan karakter pasukan ini," tambahnya. - Agensi

![]() |
| |
Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, David Gill semalam mengumumkan program Jelajah Asia Manchester United 2009 yang merupakan kunjungan kelima kelab berkenaan ke benua Asia sepanjang sedekad lalu.
"Jelajah kami ke Asia sentiasa istimewa. Suasana meriah peminat begitu menakjubkan. Ia akan memberi peluang kepada peminat untuk menyaksikan wira pujaan mereka beraksi di bumi sendiri.
"Jelajah kali ini juga melibatkan lokasi baru iaitu Indonesia," katanya.
Red Devils dijadualkan berlepas dari Manchester pada 16 Julai depan dan akan singgah di lokasi pertamanya di China yang tarikh perlawanannya akan ditetapkan dalam masa terdekat ini.
Dari China, pasukan tersebut akan bertandang ke Seoul, Korea Selatan dan beraksi di Stadium Piala Dunia pada 20 Julai.
Kemudian United akan singgah di Jakarta untuk menentang skuad pilihan Liga Super Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 24 Julai.
United mengakhiri jelajah mereka di Kuala Lumpur untuk bertemu skuad Pilihan Malaysia sama ada di Stadium Nasional, Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam pada Ahad, 26 Julai. - Agensi


MANCHESTER - Manchester United perlu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan dua perlawanan yang dimiliki bagi mengulangi kejayaan menjulang trofi Liga Perdana England musim ini. United berpeluang merampas kedudukan teratas liga andai mereka dapat memungut enam mata maksimum daripada dua kelebihan perlawanan tersebut bermula aksi bertemu Wigan Athletic di Old Trafford awal pagi esok.
Penyerang United, Wayne Rooney tidak berhasrat untuk terus bergembira dengan kejayaan menumbangkan Chelsea 3-0 Ahad lalu, sebaliknya dia mahu fokus pada perlawanan akan datang.
Menurut Rooney, apa yang perlu United lakukan ketika ini ialah mendaki kedudukan liga secepat mungkin bagi memberi tekanan kepada pendahulu, Liverpool.
"Ia terpulang kepada kami sendiri. Jika kami menang dua perlawanan minggu ini, kami akan berada di tangga teratas.
"Biarpun berada di takhta hanya seketika sehingga aksi Liverpool bertemu Everton Isnin depan, kami mahu lihat United berada di tangga teratas liga selepas tamat perlawanan menentang Bolton Sabtu ini.
"Menang ke atas Chelsea Ahad lalu memang sangat penting. Selepas melihat Liverpool sekadar seri tanpa jaringan dengan Stoke, kami rasa perlu ambil peluang itu dan mencari kemenangan," katanya.
Pengurus United, Alex Ferguson pula menjangkakan United akan sekali lagi turun tanpa pertahanan kental, Rio Ferdinand yang masih mengalami kecederaan belakang.
Namun, dia yakin pemain muda, Jonny Evans mampu melaksanakan tugas dengan baik bagi mengisi tempat Ferdinand.
"Dia (Evans) sungguh menakjubkan. Sebagai pemain muda dengan usia baru 21 tahun, dia sememangnya cemerlang ketika bertemu Chelsea.
"Dia bijak membaca permainan, mengawal bola dengan baik dan mampu berdiri sama tinggi dengan pemain utama kami yang lain. Saya bangga dengannya," kata Ferguson. - AFP

LONDON - Fernando Torres (gambar) percaya perebutan kejuaraan Liga Perdana England akan ditentukan apabila Liverpool berkunjung ke Old Trafford pada 14 Mac depan.
Skuad The Reds ketika ini sedang mendahului carta liga, namun Manchester United semakin rapat mengekori mereka selepas mengalahkan Chelsea 3-0 Ahad lalu.
Torres meramalkan trofi Liga Perdana England itu akan berada dalam genggaman pasukan yang bakal memenangi pertemuan di Old Trafford kelak.
"Saya rasa pertemuan di Old Trafford akan menjadi penentu kepada kejuaraan gelaran," kata Torres.
"Sekiranya semua berjalan baik seperti apa yang kami harapkan, maka kami akan pergi ke sana dalam keadaan yang sama seperti sekarang.
"Kami akan mencuba untuk bermain dengan baik dan mendapatkan kemenangan yang diharapkan kerana sejak beberapa tahun lalu, nasib tidak banyak memihak kepada Liverpool."
Dengan baki dua perlawanan di tangan, United kini dianggap pasukan pilihan untuk menjulang trofi yang dimenangi mereka Mei lepas.
Namun, Torres menegaskan Liverpool tidak pernah berniat untuk menyerah kalah begitu sahaja.
"Jelas sekali mereka (United) pilihan utama untuk memenangi Liga Perdana.
"Begitupun, kami masih berusaha keras untuk menyaingi mereka dan terus mengatasi mereka. Kami dalam keadaan terbaik untuk melakukannya.
"Kami sedar tidak mustahil kami akan memenanginya musim ini tetapi kami perlu berjuang bermati-matian untuk memastikannya.
"Sudah jelas yang kami tahu banyak perkara mengenai mereka. Mereka adalah juara Eropah dan juga juara dunia.
"Kami sedar kelas tersendiri yang dimiliki United.
"Mereka memiliki beberapa pemain terbaik dunia," kata Torres. - Agensi


LONDON - Wayne Rooney melaungkan amaran kepada Liverpool bahawa dia akan menyingkirkan skuad The Reds itu daripada kedudukan teratas Liga Perdana England. Kelmarin, Rooney menyumbangkan satu gol ketika membantu Manchester United menang 3-0 ke atas Chelsea di Old Trafford.
United sekali lagi menjadi pilihan untuk menjulang kejuaraan liga musim ini dan berpeluang memintas Chelsea dan Liverpool sekiranya menewaskan Wigan esok dan mengutip tiga lagi mata ke atas Bolton Wanderers, Sabtu ini.
"Selepas menyaksikan perlawanan Liverpool Sabtu lalu, kemenangan seperti inilah yang kami perlukan.
"Kini kami berpeluang menduduki tangga teratas liga. Semuanya terpulang kepada kami sekarang.
"Kami perlu memenangi dua perlawanan ini sebelum Liverpool beraksi menentang Everton Isnin depan. Menjelang Sabtu nanti, kami mahu berada di persada liga," kata Rooney.
Sementara itu, Cristiano Ronaldo mengakui, dia sudah semakin hampir untuk kembali ke prestasi terbaiknya.
Bintang United itu muncul sebagai pemain sensasi musim lepas apabila membantu Red Devils menjuarai gelaran berganda, Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara.
Sebelum ini, Ronaldo, 23, gagal mempamerkan aksi sebenarnya apabila pulih daripada kecederaan buku lali.
Namun, pemain sayap Portugal itu memberitahu, dia akan kembali ke kemuncak prestasinya tidak lama lagi.
"Beritahu saya seorang pemain yang pernah mempamerkan aksi terhebatnya dalam satu, dua, tiga atau empat tahun pada kejohanan peringkat tertinggi?
"Kamu tidak dapat cari pemain seperti itu kerana ia adalah mustahil.
"Musim lepas saya rasa saya telah mengharungi musim yang menakjubkan tetapi musim ini pada pandangan saya, ia tidak kurang hebatnya.
"Saya telah menjaringkan sembilan gol setakat ini. Saya telah kembali pulih daripada kecederaan dan orang masih menanti saya untuk beraksi dengan lebih baik," kata Ronaldo. - Agensi

![]() |
| ALEX FERGUSON |
Pengurus United itu dan rakan sejawatnya di Liverpool, Rafael Benitez bersengketa sepanjang minggu ini ekoran saling melempar kritikan, terbaru Benitez mendakwa Ferguson tidak pernah dihukum apabila mengkritik pengadil dan pegawainya mampu mengugut pengadil perlawanan.
Namun, Ferguson enggan memberi respon terhadap komen Rafa itu.
"Terdapat rasa kebencian daripada apa yang dia perkatakan dan saya tidak faham dari mana datangnya perasaan itu.
"Adalah jelas dia semenangnya terganggu oleh sesuatu. Dia perlu sedar terhadap perkara mengarut yang dikatakannya.
"Namun, saya tidak mahu bercakap apa-apa lagi kerana apa yang mahu saya lakukan sekarang ialah memberi fokus terhadap pasukan saya,'' kata Ferguson.
Kemenangan, kelmarin bermakna United bakal mengalih alih kedudukan Liverpool di tangga teratas, itupun jika United mampu memenangi baki dua perlawanannya.
Perlawanan pertama ialah yang telah dijadual semula, iaitu pertembungan di tempat sendiri menentang Wigan, esok.
Dengan jadual perlawanan di tempat sendiri menentang Liverpool dan Arsenal tidak lama lagi, United dilihat berada pada kedudukan sangat baik musim ini apabila pasukan Ferguson secara tradisinya mula mengorak prestasi untuk bergelar juara.
"Kami bakal berdepan beberapa perlawanan sukar dalam tempoh terdekat, Wigan beraksi cemerlang setakat ini dan menentang Bolton di padang mereka Sabtu ini, ia perlawanan yang sukar.
"Lapan perlawanan pada bulan ini merupakan ujian besar buat kami. Tetapi kami memiliki pasukan yang boleh diharapkan,'' kata Ferguson.
Perlawanan, kelmarin turut disaksikan oleh bekas jurulatih Chelsea, Jose Mourinho dari tempat duduk orang kenamaan.
Sukar dibayangkan apabila pintu gol Chelsea mudah dibolosi oleh United terutama gol kedua dan ketiga, kedua-duanya menerusi penyudah jarak dekat Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov.
Namun, Ferguson mengakui persembahan United menjadi semakin berkesan selepas tandukan Nemanja Vidic yang meletakan United di depan pada penghujung babak pertama.
"Memperoleh gol dalam babak pertama sudah pasti memberikan perubahan kerana lawan terpaksa mengejar kami di babak kedua.
"Chelsea memang mengawal perlawanan dan memberi ancaman setiap kali mengawal bola, kerana ia memiliki pemain yang bijak.
''Namun kami bertahan dengan baik pada jarak kira-kira enam meter dan saya tidak berfikir pemain lawan mampu mencipta peluang gol,'' kata Ferguson.
MANCHESTER, England - Meskipun berjaya menundukkan Chelsea 3-0, kelmarin pemain-pemain Manchester United berang setelah tandukan Cristiano Ronaldo dibatalkan oleh pengadil perlawanan.
Ketika United memperoleh sepakan sudut pada separuh masa kedua, Wayne Rooney menggolekkan bola ke arah sudut padang dan kemudiannya menggerakkan bola keluar dari kedudukan tersebut secara spontan.
Sentuhan Rooney itu menunjukkan sepakan sudut telah pun diambil dan bola dibiarkan untuk pemain sayap berpengalaman Red Devils, Ryan Giggs.
Tindakan licik tersebut secara umumnya hampir-hampir tidak dihiraukan oleh penyokong yang berada di Old Trafford dan penjaga garisan juga secara jelas tidak mengendahkan perkara itu.
Penjaga garisan tidak mempedulikan aksi itu kerana Giggs hanya berjalan perlahan menuju untuk mengambil bola yang ditinggalkan oleh Rooney.
Namun, pemain sayap pengalaman United itu secara tiba-tiba melarikan bola tersebut ke arah gawang Chelsea dan melakukan hantaran silang kepada Ronaldo untuk menanduk masuk melepasi Petr Cech.
Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Howard Webb membunyikan wisel bagi membatalkan jaringan tersebut.
"Saya tidak terfikir bahawa penjaga garisan sudah mengetahui Wayne (Rooney) telah mengambil sepakan sudut itu secara jarak pendek.
"Saya tidak tahu jika Wayne telah memberitahunya atau tidak. Saya hanya berlari melepasi Wayne dan dia menyatakan bahawa dia telah melakukan sepakan sudut.
"Jadi secara jelasnya bola telah berada di luar kotak D (kotak kecil di bahagian sudut padang) dan saya hanya melepasi bola dan melarikannya bagi membuat hantaran silang," kata Giggs.
Rooney dan Giggs dilihat menunjukkan aksi marah selepas gol tersebut tidak disahkan sebagai jaringan gol dan meluru ke arah penjaga garisan.
"Saya tidak melihat sebarang permasalahan dengan tindakan itu. Saya telah mengambil bola dan meleretkan bola tersebut keluar dari D... penjaga garisan yang telah salah mentafsir," ujar Rooney.
Biarpun Webb tidak mengubah keputusan itu, Giggs kemudian melakukan sepakan sudut dan secara kebiasaannya tidak lama selepas itu Nemanja Vidic berjaya menanduk masuk untuk membolehkan United mendahului 1-0.
"Kami bertuah untuk menghasilkan jaringan tidak lama selepas insiden tersebut. Secara nyata, kami mungkin akan berasa tidak senangl jika tidak berjaya mencipta gol selepas itu," kata Giggs.



LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menjadikan penyerang antarabangsa Perancis, Karim Benzema sebagai pemain paling dikehendaki pasukannya pada musim panas nanti. Kenyataan Ferguson ini sekali gus membayangkan bahawa juara Eropah itu akan melepaskan bintang Argentina, Carlos Tevez pada hujung tahun ini.
Bagi Ferguson, beliau begitu mengagumi Benzema sebagai pemain berbakat terutamanya selepas pemain itu meledak gol menarik ketika United berdepan Lyon pada aksi pertama Liga Juara-Juara musim lepas.
Benzema juga dipercayai bersedia mendengar sebarang tawaran dan United sudah pasti berharap dapat membawanya ke Old Trafford meskipun terdapat saingan daripada Real Madrid dan Barcelona.
"Terdapat laporan bahawa Lyon meletakkan harga sekitar 40 juta euro (RM194 juta) ke atas Benzema tahun lepas dan kini United dilihat bersedia membawanya ke Old Trafford," jelas sumber dalam kelab Perancis itu.
Benzema berjaya meledak 20 gol musim lepas untuk membantu Lyon menjulang kejuaraan Liga Perancis buat kali ketujuh berturut-turut.
"Dia seorang penyerang yang mempunyai kebolehan semulajadi untuk menggegar gawang lawan," ujar Jurulatih Perancis, Raymond Domenech.
Sementara itu, wujud laporan bahawa Tevez yang gagal menempatkan diri dalam skuad utama United telah berhubung dengan rakan senegaranya, Gabriel Heinz mengenai kemungkinan berhijrah ke Real Madrid musim depan. - AFP

Status : married with two daughter
*Mudahkan urusan anda
*Renewal road tax dan insuran
*Terus ke pintu
*Premium insuran boleh dirunding
*6 bulan @ setahun @ budget pocket
*klang valley sahaja
call segera....En.Asmadi di talian 0196633543
-------------------------------------------------
Alpha Lipid Lifeline
Susu berkolostrum tinggi yg dapat menghasilkan antibodi
&membina semula sel-sel agar kembali kuat untuk melawan berbagai jenis penyakit.
Maklumat lanjut boleh terus ke link=Alpha Lipid Lifeline
| real estate website design |