Ferguson pertahan lagak Young

INSIDEN yang menyaksikan Young
terjatuh di kawasan kotak penalti Villa selepas berlanggar dengan Clark
(kanan) di Old Trafford kelmarin.
LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mempertahankan pemain sayapnya, Ashley Young yang didakwa menipu ketika The Red Devils melakar kemenangan 4-0 ke atas Aston Villa dalam saingan Liga Perdana England di Old Trafford kelmarin.
Young dikatakan sengaja 'berlakon' dengan menjatuhkan badan bagi
meraih simpati pengadil perlawanan, Mark Halsey untuk mendapatkan
sepakan penalti.
Halsey tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada
United yang disempurnakan oleh Wayne Rooney seawal minit keenam.
Sebelum itu, ulang tayang televisyen menunjukkan ada sentuhan berlaku
dan beberapa penganalisis bola sepak menyatakan Young seolah-olah
sengaja melanggar pemain pertahanan Villa, Ciaran Clark sebelum
terjatuh.
Keputusan yang berpihak kepada Young itu sama seperti apa yang
berlaku sebelum ini ketika United menentang Queens Park Rangers (QPR).
Ferguson mengakui Young sengaja mencari sepakan penalti tetapi beliau
tetap menegaskan bahawa penalti yang diberikan itu tetap sah.
"Saya rasa dia (Young) jatuh dengan tidak sengaja tetapi ia tetap penalti, kita tidak boleh menafikannya.
"Mereka (pemain pertahanan Villa) tahu Young beraksi dengan pantas
dan akan masuk ke kawasan petak penalti. Young jatuh dengan sangat mudah
tetapi ia tetap penalti kerana dia dijatuhkan," jelas Ferguson.
Memandangkan tindakan Young mendapat kritikan daripada pelbagai
pihak, Ferguson percaya pemain berusia 26 tahun itu akan dikenali
sebagai pemain yang gemar 'berlakon'.
"Ya, saya fikir dalam situasi ini dan pada minggu-minggu sebelum ini mungkin dia (Young) akan mendapat gelaran tersebut.
"Saya tidak pernah saksikan dia beraksi sedemikian, ia bukannya satu
kelaziman untuknya (sengaja menjatuhkan diri)," jelas Ferguson. - AFP