Liverpool hadapi Man. United

FERDINAND (kanan) menganggap
pertemuan menentang Liverpool pada pusingan keempat Piala FA bakal
menghidangkan aksi-aksi yang menarik.
LONDON - Liverpool diundi bertemu Manchester United pada aksi pusingan keempat kempen Piala FA.
Pertemuan tersebut pasti mengimbas kembali insiden yang berlaku
selepas penyerang Liverpool, Luis Suarez menghamburkan kata-kata
berunsur perkauman kepada tonggak pertahanan United, Patrice Evra dalam
saingan Liga Perdana England pada Oktober lalu.
Bagaimanapun, Suarez sudah didapati bersalah dan dikenakan hukuman
penggantungan sebanyak lapan perlawanan serta dijangka terlepas aksi
yang bakal berlangsung di Anfield itu.
Sebagai rekod, pertemuan antara Liverpool dengan United adalah yang
pertama buat kedua-dua pasukan selepas insiden yang mencetuskan
kontroversi tersebut.
Bagi skuad The Reds, ia merupakan peluang terbaik buat mereka
untuk membalas dendam di atas kekalahan kepada United yang menyingkirkan
mereka pada kempen musim lalu.
"Berdepan Liverpool... pasti ia merupakan suatu perlawanan yang menarik untuk kempen Piala FA kali ini.
"Buat peminat-peminat United, mari kita sama-sama saksikan dan
berilah sokongan kepada kami," kata tonggak pertahanan United, Rio
Ferdinand di laman sosial Twitternya.
Sementara itu, perancang Liverpool, Charlie Adam dalam catatannya di
laman Twitter berkata: "Ia merupakan satu undian yang menarik apabila
berdepan United di laman sendiri."
Liverpool mara ke pusingan keempat selepas membelasah Oldham Athletic
5-1 (Jumaat lalu), manakala United menewaskan musuh sejiran, Manchester
City 3-2 pada aksi pusingan ketiga kelmarin.
Dalam pada itu, satu lagi perlawanan yang dijangka menjadi tumpuan
sekiranya Queens Park Rangers (QPR) berjaya menewaskan Milton Keynes
Dons kerana mereka akan berdepan Chelsea yang terlebih dahulu
menyingkirkan Portsmouth 4-0 pada aksi pusingan ketiga kelmarin.
Ketika ini, kapten skuad The Blues, John Terry masih lagi
disiasat selepas didakwa mengeluarkan kata-kata penghinaan terhadap
tonggak pertahanan QPR, Anton Ferdinand. - AFP