Rooney sehebat Pele

ROONEY (dua dari kiri) memberi impak cemerlang dalam penampilannya bersama United pada awal kempen musim ini.
LONDON - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mula membandingkan
penyerang sensasinya, Wayne Rooney dengan legenda Brazil, Pele.
Kenyataan Ferguson itu hadir selepas dia melihat prestasi cemerlang
Rooney yang meledak hatrik ketika menentang Arsenal dan Bolton Wanderers
pada aksi Liga Perdana England.
"Jika melihat Pele (beraksi), dia merupakan penyerang agresif, Wayne
juga begitu. Persamaan mereka adalah kekuatan, pantas dan semangat.
Bezanya, dia (Rooney) berkulit putih sahaja," kata Ferguson.
Sebelum ini, ada peminat yang menggelar Rooney sebagai Pele Putih disebabkan karakter yang ditampilkannya ketika berada di tengah padang.
Ferguson menambah, Rooney sentiasa bersemangat, sentiasa mahukan
kemenangan dan tidak mustahil ayam tambatannya itu mampu menjadi legenda
United suatu hari nanti.
"Wayne seorang pemain yang tipikal, tetapi terdapat ramai pemain
Britain yang mempunyai kualiti itu seperti Paul Gascoigne, George Best,
Bobby Charlton dan Denis Law.
"Dia mempunyai keberanian seperti mereka. Dia sentiasa mahu beraksi,
malah dia mempunyai stamina yang menakjubkan sesuai dengan bakatnya,"
jelasnya.
Ferguson juga meramalkan Rooney dan seorang lagi penyerang United,
Javier Hernandez masing-masing mampu meledak 25 gol musim ini.
Kedua-dua penggempur berbisa itu telah menyumbang 10 gol buat United
pada awal kempen musim ini di mana Rooney kini mendahului penjaring
terbanyak liga dengan lapan gol.
"Dua tahun yang lalu, sasaran Wayne adalah untuk menjaringkan lebih
30 gol dan dia telah mencapai sasaran tersebut dengan begitu cepat.
"Jika dia dapat mencapai sasaran itu sekali lagi, saya akan cukup
berbangga kerana dengan keupayaan Javier, mereka mampu menjaringkan
lebih 25 gol musim ini," tambah Ferguson. - Agensi