Fergie tetap hormati Arsenal
MANCHESTER – Alex Ferguson (gambar) menjelaskan bahawa Manchester United masih perlu berwaspada dengan ancaman Arsenal apabila kedua-dua kelab itu bertembung dalam aksi Liga Perdana England malam ini.
Juara bertahan itu telah memulakan saingan musim ini dengan bergaya apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut, manakala kelab pencabar lain pula hanya mampu mengutip satu mata.
United bakal memiliki kelebihan lapan mata selepas pertemuan di Old Trafford itu, namun Ferguson tidak mahu memandang mudah pertemuan tersebut.
Beliau sedar Arsenal dan pengurusnya, Arsene Wenger masih terluka di atas premulaan hambar mereka musim ini dan penjualan kapten Cesc Fabregas dan Samir Nasri memburukkan lagi keadaan mereka.
Begitupun, kemenangan 2-1 ke atas Udinese berjaya membawa The Gunners kembali ke saingan Liga Juara-Juara, sekali gus menyuntik semangat juang pemain mereka.
“Mereka telah menutup semula mulut pengkritik mereka Rabu lalu. Pasukannya (Wenger) bermain dengan baik. Mereka berjaya mencatat kemenangan tatkala ramai orang mahu melihat mereka gagal.
“Saya tahu mereka mampu memenanginya. Pertemuan Ahad ini (hari ini) juga bakal menjadi titik tolak kepada kebangkitan mereka.
“Mereka akan cuba pastikan mereka menang sekali lagi tetapi kami juga dalam keadaan terbaik dan tidak sabar lagi turun beraksi dalam perlawanan ini.
“Pertemuan United-Arsenal selalunya sengit dan penting dari segi saingan pada baki musim ini. Ia satu perlawanan yang kamu amat nanti-nantikan.”
Kehadiran semula Rio Ferdinand, Antonio Valencia, Javier Hernandez dan Darren Fletcher yang kembali cergas telah memberi banyak pilihan kepada Ferguson.
“Kami dalam keadaaan terbaik ketika ini dengan beberapa pemain sudah kembali cergas,” kata Ferguson.
“Darren Fletcher telah beraksi satu perlawanan yang mana ia dalam satu berita bagus. Rio dan Valencia juga kembali menjalani latihan.” – AFP