United goyah tanpa Ferguson – Cantona

|
| ERIC CANTONA |
SINGAPURA – Manchester United bakal berhadapan tempoh yang sukar apabila pengurus, Alex Ferguson bersara kelak, kata pemain lagenda, Eric Cantona, semalam.
“Selepas dia, sudah tentu ia amat sukar sekali. Manchester United merupakan salah sebuah kelab terbesar di dunia, tetapi apabila dia bersara kelak, untuk tempoh beberapa tahun, ia pasti sukar,” kata Cantona.
Cantona berada di Singapura bersama Pele bagi mempromosi penubuhan semula kelab dari Amerika Syarikat, New York Cosmos.
Ferguson, 69, yang mula mengurus United sejak 1986, berkata, dia tidak mempunyai perancangan untuk bersara lagi.
“Alex Ferguson merupakan pengurus terbaik di dunia. Dia berjaya menyesuaikan diri dengan semua generasi. Dia mengenali kelab dengan baik sekali,” ujarnya.
Cantona turut memuji pemain tengah United, Ryan Giggs yang yakin dapat memecah rekod pasukan yang pernah dilakar Bobby Charlton apabila tampil sebanyak 606 kali dalam perlawanan liga ketika menentang Liverpool, esok.
“Dia merupakan pemain dan lelaki yang hebat. Saya kagum pemain yang mampu kekal bersama kelab yang sama dalam jangka masa panjang,” kata Cantona, 44, yang berasal dari Perancis.
Cantona bersara pada 1997 selepas memenangi empat gelaran Liga Perdana England dan dua Piala FA setelah bersama United selama lima musim. – Agensi