Ferguson sanjung Berbatov
BERBATOV (kiri) belum dapat jaringkan gol dalam lima perlawanan terakhir United.
Yakin penyerang mampu menyinar ketika menentang Tottenham
LONDON: Sir Alex Ferguson memuji peningkatan yang dipamerkan Dimitar Berbatov musim ini dan berharap dia mampu menyinar ketika menentang bekas kelabnya Tottenham, tengah malam ini.
Berbatov mungkin pantas memenangi hati penyokong ketika beraksi di White Hart Lane, tetapi penyerang Bulgaria itu jelas mengambil masa lama untuk bertakhta di hati peminat di Old Trafford.
Dengan Wayne Rooney yang cedera dan berprestasi hambar musim ini, United memerlukan lebih daripada Berbatov, yang sering dikritik kerana kurang bersemangat dan akhirnya mempamer prestasi sebenar selepas hambar sekian lama bersama pasukan itu.
Javier Hernandez menjadi bualan di kalangan penyokong Manchester selepas menjaringkan tiga gol minggu ini, tetapi penyerang muda Mexico itu tidak boleh menjadi penyelamat setiap kali perlawanan.
Ini bermakna tekanan kekal terletak di bahu Berbatov. Namun, lima perlawanan sudah berlalu, tetapi dia gagal menjaringkan gol.
Menurut Ferguson, Berbatov, yang meninggalkan Spurs dengan nilai 30 juta pound (RM150 juta) sudah berubah, apabila akhirnya bersedia memenuhi tuntutan bermain bersama antara kelab terbesar dunia.
“Dia memulakan musim ini dengan prestasi hebat bersama kami. Tanpa ragu-ragu, dia adalah bintang penyerang kami,” kata Ferguson.
“Apabila kamu membawa masuk pemain ke Manchester United, tidak semua akan menyerlah dalam satu malam.
“Tidak ada yang meragukan mengenai keupayaannya, tapi apa yang kami lihat sekarang, dia seorang penyerang yang beraksi dengan keyakinan dan kepercayaan.” – AFP