Ferguson mahu selesai segera isu Rooney
MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mahu mengadakan perjumpaan dengan pegawai kelab dalam usaha menamatkan kontroversi perpindahan Wayne Rooney.
Ferguson mengadakan pertemuan dengan ketua eksekutif United, David Gill sehari selepas Rooney mengesahkan hasratnya untuk berpindah dari kelab gergasi Inggeris itu.
Rabu lalu, Rooney, 24, berkata dia mahu berpindah kerana percaya kelab itu tidak lagi mampu menyediakan pentas untuknya bergelar salah seorang pemain terbaik dunia.
Kenyataan Rooney itu sekali gus menutup terus peluang memperbaiki hubungan dengan kelab selepas Ferguson sendiri berkata pintu untuknya terus kekal di United masih lagi terbuka.
Selepas kenyataan Rooney dibuat, Ferguson bingkas menjawab dengan berkata kelab itu akan mengadakan pertemuan bagi mengatasi masalah itu dengan kadar segera.
“Kami tidak mahu ia berlanjutan. Kami tidak mahu ia terus menjadi kontroversi. Kami ada pasukan yang perlu difikirkan,” kata Ferguson. “Ia akan tamat esok (hari ini). Kami akan bertindak tegas dan kami akan menamatkan semua permasalahan ini.” Ferguson berkata Gill sudah berbincang dengan pemilik United iaitu keluarga Glazer mengenai perkara itu.
“David (Gill) sudah mengadakan perbincangan dengan pemilik kelab dan itu adalah penting,” kata Ferguson. “Dan apa yang paling penting bagi kami ialah untuk menamatkan semuanya dengan kadar segera.” Ferguson tidak memberi petanda apakah tindakan akan diambil tetapi Rooney sudah boleh dianggap meniti hari-hari terakhirnya bersama United dan kelab itu juga akan menjual pemain itu ketika tempoh perpindahan Januari ini nanti.
Rooney yang menjadi bintang United serta muncul antara pemain paling berbakat dunia, mengejutkan majikannya dengan menolak tawaran kontrak baru dan memaklumkan kepada kelab bahawa dia mahu berpindah.
Dengan kontraknya hanya berbaki 18 bulan lagi, United dijangka menjual Rooney secepat mungkin bagi mengelak nilai pemain itu merudum. Rooney boleh berpindah secara percuma jika dia menamatkan baki kontraknya bersama United. - AFP