MANCHESTER: Bebe mengakui terkejut kerana berpindah ke Manchester United tapi penyerang itu berazam memanfaatkan peluangnya di Old Trafford.
Penyerang Portugal berusia 20 tahun itu yang berpindah dari Vitoria de Guimaraes dengan bayaran £7.4 juta (RM36.4 juta) hanya lima minggu selepas meninggalkan Estrela da Amadora.
Seminggu selepas menyedari menjadi pilihan United, Bebe menyertai kelab Old Trafford itu.
Bebe ketika bercakap kepada wartawan di Old Trafford di sini semalam berkata, antara faktor mempengaruhinya adalah kerana dia mahu mengikut jejak langkah bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dan Nani.
“Saya rasa seronok. Ia satu peluang yang diberikan kepada saya dan kini perlu bekerja lebih gigih.” kata Bebe.
“Ia hanya mengambil masa seminggu selepas mendapat tahu saya dikehendaki kelab itu sebelum menandatangani kontrak itu. “Saya ingin bermain bersama pasukan luar negara tidak kira sama ada United atau Chelsea tapi menyertai United adalah impian mana-mana pemain.
“Pembabitan pemain Portugal di Old Trafford memberi motivasi kepada saya. Banyak pemain ternama seperti Cristiano Ronaldo pernah beraksi di sini dan kini seorang pemain yang hebat.
“Begitu juga dengan Nani dan Anderson, saya mahu menjadi seperti mereka dan akan bekerja keras untuk menjadi pemain berkualiti tinggi.
“Saya sedar pemain hebat bermain dengan penuh tekanan dan akan cuba melakukan perkara sama,” katanya.
Pengurus United, Sir Alex Ferguson yang turut memperkenalkan Javier Hernandez dan Chris Smalling, mendedahkan Bebe adalah pemain pertama dibeli tanpa melihat aksinya di televisyen.
Ferguson berkata, United perlu bergerak pantas menghalang minat dari Real Madrid dan Benfica, apabila pencari bakat memujuknya menghantar ketua eksekutif, David Gill ke Portugal untuk membuat tawaran itu.
“Saya tidak melihat video mengenainya, ini kali pertama saya menyaksikannya. “Biasanya dalam kes Javier dan Chris, saya banyak melihat rakaman video mereka.
“Ada ketikanya anda perlu percaya pada kakitangan dan pencari bakat di Portugal bersungguh-sungguh mahukan kami bertindak pantas.
“Jadi saya menghantar ketua pencari bakat dan David Gill ke sana untuk membuat tawaran itu. Anda perlu bertanya kepada Real mengenai minat mereka terhadapnya, begitu juga dengan Benfica,” kata Ferguson. - AFP