Fergie resah
MILAN (Itali): Menjelang pertemuan kelompok 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara menentang Inter Milan, Manchester United dilaporkan berdepan masalah kecederaan yang agak serius di bahagian pertahanan.
Sir Alex Ferguson sudah kehilangan pemain pertahanan tengah dari Serbia, Nemanja Vidic akibat penggantungan manakala pemain veteran, Gary Neville dan Wes Brown pasti tidak dapat beraksi.
Pemain pertahanan Ireland Utara, Jonny Evans mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika pasukannya menang ke atas Blackburn, Sabtu lalu manakala seorang lagi pemain pertahanan, John O’Shea cedera di tumit.
Itu bermakna, Ferguson hanya boleh menggunakan khidmat pemain senior, Rio Ferdinand manakala seorang lagi pemain pertahanan yang pernah beraksi dalam skuad utama musim ini ialah Patrice Evra.
Itu semua membuatkan Ferguson bimbang apatah lagi pertemuan di Milan adalah salah satu perlawanan yang penting baginya.
“Kami berdepan beberapa masalah kecederaan dan saya amat berharap kami akan kembali mendapat khidmat beberapa pemain pertahanan tengah untuk pertemuan dengan Milan,” katanya.
“Ketika ini, ia sukar untuk diperkatakan. Jonny Evans tidak pasti boleh bermain dan saya berharap dapat menggunakan khidmat John O’Shea kerana kami ketiadaan Gary Neville dan Wes Brown.
“Kami pincang di bahagian pertahanan musim ini. Harap-harap kami boleh melengkapkan pasukan kami untuk pertemuan itu dan ia membuatkan saya cukup bimbang.”
Itu bermakna sekurang-kurangnya seorang pemain remaja, Rafael dan Fabio Da Silva mungkin diturunkan.
Jika tidak, Ferguson perlu mencari pilihan lain iaitu menurunkan pemain tengah di bahagian bawah kerana beliau masih boleh berbuat demikian.
Ryan Giggs dan Paul Scholes diturunkan selaku pemain penyerang manakala Darren Fletcher sering beraksi di pertahanan kanan tetapi tidak di tengah. Seorang lagi ialah Michael Carrick tetapi prestasinya di tengah padang adalah antara punca mengapa United cukup mantap musim ini dan dia tidak mungkin diturunkan di bahagian bawah. - AFP